rupa



Pada setiap sebilah keris mempunyai bentuk rupa yang menyatakan asal usul dari wlayah Melayu mana ia diperbuat. Setiap bentuk rupa keris itu membawa martabat tertentu dan fungsinya tersendiri. Maka setiap sebilah keris adalah tetap sebilah keris walaupun peranannya berbeza-beza. Ada keris Istiadat, ada keris Kuasa, ada keris Hukum, ada keris Tempur dan pelbagai lagi. Sesungguhnya mengenali ciri-ciri sebilah keris teramatlah sukar jikalau seseorang itu tidak mempunyai ilmu mengenai KERIS.

Keris yang terkenal yang sudah lazim bagi orang Melayu adalah keris 'Taming Sari' pakaian Laksamana Hang Tuah mengikut hikayat. Keris yang telah dimiliki oleh Hang Tuah setelah menewaskan sipemilik asal keris tersebut iaitu Taming Sari sendiri, pertarungan antara mereka di Tanah Jawa satu ketika yang lampau. Keris Melayu yang seterusnya yang termasyur di Semenanjung Tanah Melayu ini ialah Keris Tempa Melaka. Keris Tempa Melaka yang pernah digunakan oleh Hang Tuah ke mana-mana sahaja. Keris Tempa Melaka ini merupakan keris kedua Hang Tuah selepas Keris Taming Sari. Keris ini diperbuat daripada 21 jenis besi dan mempunyai 21 lok merupakan hadiah Sultan Melaka kepada Hang Tuah dan kini berusia hampir 600 tahun.

Sebilah KERIS : Sebagian ahli keris mengelompokkan keris sebagai senjata tikam, sehingga bahagian utama dari sebilah keris adalah ‘Mata’ atau bahasa awamnya adalah seperti mata pisau. Tetapi karena keris mempunyai kelengkapan lainnya, iaitu ‘Sarung’ dan bahagian pemegang keris atau ‘Hulu’, maka camtuman terhadap seluruh kelengkapannya disebut keris.

Antara rupa-rupa keris di Alam Melayu :


(Petikan dari sumber) : Terdapat pelbagai jenis keris di alam Melayu ini, berdasarkan suatu penelitian berkenaan dengan keris yang ada dapat dibahagikan kepada beberapa jenis keris. Ini dilihat berdasarkan ‘Hulu’ atau ‘Sarung’ maupun ‘Mata’ keris dan juga kepada bentuk secara kesuluruhan. Menurut G.C. Woolley, secara umum keris dapat dibahagikan kepada 7 jenis, iaitu ;

• Keris Semenanjung atau jenis Utara
• Keris Pekakak
• Keris Jawa
• Keris Sumatera
• Keris Bali dan Madura
• Keris Bugis
• Keris jenis Sundang dan jenis Sulok



1. Keris Jenis Semenanjung atau jenis Utara : 

Keris Melayu Semenanjung iaitu keris yang digunakan secara meluas di daerah Semenanjung Tanah Melayu dan kepulauan berhampirannya termasuklah Singapura, Kepulauan Riau-Lingga di selatan dan Pattani di utara. Ciri-ciri khusus keris Melayu Semenanjung ini mula berubah dan berbeza apabila Kelantan Pattani (orang barat) menjadi pusat perkembangan intelektual terutamanya intelektual Islam sehingga abad ke 17 yang kemudiannya diambil-alih oleh Kelantan sehingga abad ke 19 terutamanya sistem pendidikan sekolah pondok (pasentren).

Bentuk ‘hulu’ keris Semenanjung ini dinamakan keris Hulu Jawa Demam. Hulu Jawa Demam yang tua mempunyai bentuk seperti tubuh manusia, tetapi kemudiannya diubah, malah ada sebahagiannya yang diukir dengan rekaan bunga. Sarung Keris Semenanjung ini mempunyai sampir bujur sangkar yang agak besar dan berbentuk segi empat. Sementara batangnya pula lebar, tidak begitu tirus dan mempunyai ‘kasut’ atau ‘buntut’ jalur bujur sangkar. Jika sarung atau sampir keris disalut perak, maka kasutnya akan berbentuk ‘bulat tempurung’.

2. Keris Jenis Pekaka : 

Keris ini dinamakan Pekaka karena hulunya terbuat dari tanduk atau kayu yang kemudian dibentuk seperti burung Pekaka. Salah satu ciri khas dari jenis ini adalah mata keris yang lebih panjang dari mata keris pada umumnya. Keris Pekaka boleh memiliki 31 luk di mata kerisnya. Keris ini mula terhasil dikatakan apabila Pandai Saras (juga disebut Pandai Sarah) empu keris Pattani (lihat Hikayat Pattani 1970) yang dari keturunan Jawa (Majapahit) menghasilkan keris bersifat Melayu Pattani yang tidak lagi menggunakan hulu makara (gajah berbadan kuda laut/haiwan laut) dengan hulu pekakak (burung raja udang/kingfisher), juga disebut ‘coteng’ dan ‘tajung’. Keris yang digunakan sebagai regalia kebesaran kesultanan Melayu Pattani. Tetapi kalau diperhatikan secara teliti, kepala dan hidung hidung pekakak itu jestru lebih mirip dengan tokoh laksamana di dalam wayang kulit jawa.

Ada pendapat juga menerangkan bahawa terdapat beberapa perbezaan antara hulu keris pekakak dan hulu jenis tajung.

3. Keris jenis Jawa :  

Jenis ini terlihat dari ciri khas pada hulunya yang berbentuk melengkung seperti pistol. Biasanya, keris model ini digunakan sebagai keris pusaka di zaman kerajaan-kerajaan di Jawa dahulu. Keris-keris pusaka Jawa yang terkenal adalah keris di zaman Kerajaan Singasari buatan Mpu Gandring. 

Keris Jawa mudah dikenalpasti berdasarkan rupabentuk bahagian hulu dan sarungnya, terutamanya pada bahagian sampirnya. Hulu keris ini biasanya diperbuat daripada kayu dan berbentuk bengkok pada hujungnya dan adakalanya ia menyerupai bentuk Jawa Demam. Selain itu, hulu keris ini juga dilengkapkan dengan sebentuk cincin yang diletakkan pada bahagian bawah pendongkok dan dikenali sebagai ‘selut’. Pada bahagian sarung keris ini pula, ukuran batangnya tidak begitu lebar tetapi tirus serta berbentuk bulat di bahagian pangkalnya.


4. Keris jenis Sumatra : 

Keris jenis ini ditentukan pada mata, hulu dan sarungnya. Ianya dinamakan Keris Bahari dan mempunyai mata yang panjang tirus, lurus atau pun berlok, sehingga ia juga disebut Keris panjang. Lazimnya mempunyai keratan lintang mata yang bujur panjang, adakalanya terdapat tulang-tulang belakang pada kedua belah matanya. Keris jenis ini dapat dibahagikan kepada beberapa jenis, bergantung kepada ukuran matanya.  

Antaranya :

• Keris Panjang : bermata panjang
• Keris Alang : bermata sederhana panjang
• Keris Anak Alang :bermata lebih pendek dari keris Alang
• Keris Pendek : bermata pendek dan ada kalanya di gelar keris Pandak

Hulu keris ini berbentuk bengkok pada bahagian ujungnya serta mempunyai ukiran bunga-bungaan, biasanya diperbuat dari kayu ataupun tanduk. Terkadang juga mempunyai bentuk hulu keris seperti Keris Jawa Demam. Sampirnya pula berbentuk jalur bulat dengan kedua ujungnya tinggi serta tajam.

Batang keris ini pula panjang serta tirus dan biasanya dipasang dengan beberapa simpai dari rotan ataupun logam, ianya mempunyai buntut bentuk bujur sireh dan sekiranya bahagian batang bersalut logam bentuk buntut bertukar menjadi bujur sankar.

5. Keris jenis Bali dan Madura : 

Di kawasan Bali dan Madura, hulu kerisnya mempunyai bentuk-bentuk yang menggambarkan dewa-dewi, kerana dipengaruhi kepada agama Hindu dahuhulunya. Biasanya hulunya agak besar serta panjang diperbuat dari kayu atau gading, di Bali keris-keris tersebut kerap kali dihiasi dengan permata warna-warni.

Hulu Keris Madura biasanya dibuat dari gading dan mempunyai bentuk ataupun gambar-gambar bunga. Biasanya keris bentuk seperti ini cincin yang terbuat dari logam yang tebal serta dihiasi dengan permata. Sarungnya pula yang dibuat dengan cantuman dari bahagian sampir dan batang yang berasingan. Ada pula yang sampir dan bantangnya yang diperbuat dari bahan berlainan. Biasanya kayu yang dipilih untuk memperbuat sarung keris, dipilih kayu yang berwarna cerah yang mempunyai belak-belak hitam.

6. Keris Jenis Bugis :

Keris Bugis biasanya mempunyai hulu diukir seperti bentuk Jawa Demam, kemudiannya bahagian yang paling mudah dikenali adalah dengan keadaan buntutnya yang berbentuk mata kapak. Keris Bugis yang mempunyai hulu dan sarung yang diperbuat dari gading dan pada batangnya dilengkapi dengan simpai logam yang berbunga dan di tengah-tengah batangnya dihiasi perhiasan logam bentuk berbunga.

7. Keris Sundang atau Sulok :

Orang Sulu biasanya terkenal dengan pelayar di laut dipersekitaran gugusan tanah Melayu, mereka juga memerlukan senjata untuk memotong dan mengimbas selain dari untuk menikam, maka terciptalah sebilah keris yang bernama Keris Sundang atau Keris Sulok.

Jenis keris ini dapat dekenali dari bentuk mata, hulu dan sarungnya. Matanya panjang baik lurus maupun berlok, tebal dan lebar, oleh sebab itu jenis keris ini terasa lebih berat jika dibandingkan dengan keris lainnya.

Lazimnya keris seperti ini mempunyai tuntong yang berbentuk bulat serta tumpul. Kalu diperhatikan dari mata sundang, ianya juga memiliki bahagian-bahagian yang biasa terdapat pada sebilah mata keris, seperti ganja, lambai gajah dan belalai gajah. Teapi keistimewaan sundang dapat dilihat dari matanya yang memiliki sepasang sigi yang terbuat dari logam di pangkal matanya, kegunaannya untuk menghindar supaya matanya tidak berputar dari hulunya. Keris Sundang yang bermata lurus dinamakan Kieris Raja Laut.

Selain bermata lurus, Keris Sundang juga memiliki mata berlok dan mempunyai nama masing-masing, iaitu;

• Keris Sulok Belingkong, mempunyai 3 lok
• Keris Apit Liang mempunyai 5 lok
• Keris Jenoya mempunyai 7 lok
• Keris Rantai yang mempunyai lok 7 sehingga 20 lok
• Keris Andus yang mempunyai lebih dari 20 lok

Hulu keris sundang diperbuat dari gading atau pun kayu, sangat berlainan dari bentuk hulu-hulu keris lainnya, iaitu berbentuk bulat panjang untuk genggaman, di ujungnya pula terbuka cara melintang dan melekok arah ke dalam.

Bahagian berbuku melintang seperti sagaja dibuat supaya gengamman tidak terlucut. Ada juga terdapat yang hulunya mempunyai bentuk rupa mujarad atau pun seperti kepala burung kakaktua. Biasanya pada seluruh badan bersalut logam atau pun dihiasi dengan susunan simpal dari tali atau dawai logam.

Oleh kerana bentuk Keris Sundang panjang serta lebar, maka bentuk sarungnya yang diperbuat dari kayu terlebih besar daripada jenis keris-keris lainnya.

Di samping keris-keris di atas terdapat beberapa bentuk keris yang cukup popular di Semenanjung, seperti :

• Keris Melela
• Keris Beko
• Keris Penyalang/Panjang/Dabus/Terapang
• Keris Sepukal
• Keris Unduk-unduk Terengganu
• Keris Bugis Pattani
• dll

Rujukan :


Jika Benar Kita Melayu, Kita Dapat Menghayati Seni Warisan Bangsa Kita Itu