falsafah



Keistimewaan KERIS memang sudah ternyata, dibicarakan para tokoh dan sarjana, di tanahair sendiri dan juga di luar negara. Terkadang cuma kita sahaja anak-anak bangsa alpa dan kurang peduli, dengan karya serta seni tradisi nenek moyang kita sendiri.

KERIS tersemat falsafah yang cukup tinggi, yang perlu sangat-sangat seorang Melayu mengenali. Pada keris itu nenek moyang yang arif lagi bijaksana memberi pesan, agar kita bawa amanahnya untuk masa-masa hadapan. Maka tidak akan hilanglah sebenarnya yang dikatakan MELAYU di dunia nanti.

Pada Hulu, Sampir, Batang Serunai, Puting, Ganja, Belalai Gajah, Duri Mengkuang, Bilah, Pamor, Luk Keris, semuanya membawa makna, semuanya ada falsafah, nasihat dan pesan untuk seorang pemilik keris jadikan pendoman.

Seterusnya, bicara tentang Falsafah KERIS juga telah dipetik antaranya :

"Keunikan yang berada pada keris menampilkan ciri-ciri kekuatan, kehebatan, kemuliaan, kegerunan dan kemistikan. Dalam menyatakan falsafah perkerisan tidak dapat dipisahkan hubung kaitnya dengan klasifikasi, struktur, bilah, ricikan dan pamor keris yang direkacipta oleh si Pandai Besi atau Empu". 

(Khamis Mohamad, Nik Hassan Shuhaimi & Abdul Latif Samian, Falsafah Perkerisan dalam Masyarakat Melayu)
"Kalau ini keris panglima, mereka anggap keris juang, kalau keris raja, keris kuasa, inilah falsafahnya, tetapi walau apa sekalipun, falsafah keris kita tak lari dari lihat kehebatan matanya, kecantikan sarungnya, hulu dan pendokoknya." dan "setiap keris bukan hanya sekadar indah untuk dipandang dan menjadi lambang kemegahan" 

(Cikgu Mohamad Noor Awang Kecik, dalam laporan khas TV3, Warisan Keris Kelantan).
"Salah satu falsafah keris ialah berkaitan dengan kaedah pembuatannya dengan asal- usul kejadian manusia. Penciptaan manusia berdasarkan kepada empat unsur, iaitu tanah, air, api dan angin. Manusia diciptakan daripada tanah dan dilembutkan dengan air yang kemudiannya dibakar dengan api dan seterusnya dihembuskan roh. Para Empu dan Pandai Besi mengambil iktibar daripada kejadian manusia ini". 

(Khamis Mohamad, Nik Hassan Shuhaimi & Abdul Latif Samian, Falsafah Perkerisan dalam Masyarakat Melayu)

"Sebagai orang Melayu Islam sebilah keris itu simbolik dengan pengertian penciptaan, kalau dipegang dalam kedudukan tegak ke atas, maka ia akan membentuk seperti huruf alif dalam aksara Arab.
Hakikat huruf alif ini merupakan cerminan, simbol atau saripati dari ajaran tauhid tentang keberadaan Allah سبحانه و تعالى selaku penguasa alam semesta ; qulhuwa allahu ahad قُلۡ هُوَ اللّٰہُ اَحَدٌ, katakanlah olehmu, Allah itu mahaesa.
Dari huruf alif-lah segala sesuatu bermula. Maka, huruf alif itulah burhan yang nyata atas tauhid Allah yang, laisa kamislihi sai’un, لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ yang tidak menyerupai sesuatupun yang dicipta. Ayat ini merupakan petikan ayat yang terdapat dalam surat asy-Syura' ayat ke 11. Ayat ini banyak dijadikan dalil penguat dari sifat Allah yang termasuk sifat wajib baginya, berbeda dengan makhluknya
Maka sesaorang yang di amanahkan dengan keris itu adalah penghulu sejagad yang harus sedar bahwa ia adalah pemegang huruf alif dan adalah khalifah yang dipercayakan sebagai pemimpin dari para pemimpin. dengan menghunuskan keris dengan sedemikian memelambangkan ianya mengikhtiraf kedaulatan bangsanya dan hakikat Allah itu maha berkuasa".



Jika Kita Kenal Erti Melayu, Takkan Kita Lenyapkan Melayu Kita


Rujukan:
1. Falsafah Pekerisan dalam Masyarakat Melayu (Khamis Mohamad, et al) http://journalarticle.ukm.my/5489/1/Falsafah_Pekerisan_dalam_Masyarakat_Melayu.pdf
2. Keris , Karih Sebagai simbol Eksistensi Penghulu, http://guguak8koto.blogspot.sg/2013/09/karih-sebagai-simbol-eksistensi-pangulu.html
3. Laporan Khas TV 3. Wasisan Keris Kelantan. http://www.tv3.com.my/beritatv3/laporan_khas/Warisan_Keris_Kelantan_Part_2.html